Saturday, 25 May 2013

Menggapai Cinta dan Cita




BANGI, 22 Mei – Seiring dengan musim peperiksaan yang bakal tiba, Program Jom Bina Hati yang terakhir pada semester 2 kali ini, menyajikan topik yang sungguh menarik, iaitu ‘Menggapai Cinta dan Cita’. Lebih menarik lagi, penyampaian itu disampaikan dalam bentuk forum, disertakan dengan pakej ahli panel serta moderator yang hebat dan berkarisma. Bersama-sama moderator ukhti Nor Wina ialah panel Ustazah Haryati dan Pn. Farah Ruslin yang juga merupakan beliawanis PEMBINA.

Berbicara mengenai cinta dan cita, pasti ramai yang tertanya-tanya, apakah kaitan cinta dan cita? Seperti yang dikatakan Ustazah Haryati, “Perlunya kita berbalik kepada tujuan asal penciptaan:

“Tidak Aku ciptakan jin dan Manusia melainkan hanya untuk beribadah kepada-Ku.” (QS. Adz –Dzariyat: 56 ). 
 
Maka, bermula dengan kalimah syahadah sebagai tanda beriman dan cinta kepada Al-Khaliq, diikuti dengan penetapan matlamat dalam hidup, iaitu beribadah kepadaNya. Dengan adanya cinta, terwujudlah cita. Oleh itu, sebagai pelajar yang ingin menggapai cita-cita perlulah terlebih dahulu menanamkan rasa cinta terhadap Sang Pencipta dan cita-cita.

“Dalam kita mengejar cinta dan cita, jangan sesekali pandang enteng terhadap amanah yang diberi, mahupun menganggap ianya satu beban. Sebagai contoh, tanggungjawab saya sebagai seorang anak, isteri, kakak dan dalam pada masa yang sama sebagai seorang pelajar PHD. Kita perlu menganggapnya sebagai wasilah untuk mengejar akhirat.” Kata ahli panel kedua, Pn. Farah. Sesungguhnya, amanah itu diibaratkan seperti catalyst yang mampu meningkatkan semangat dalam mengejar kedua-duanya. Setelah itu, serahkan 100% pergantungan kepada Allah yang Maha Mengetahui.

Ustazah Haryati juga sempat berkongsi dengan hadirin, tips menjadi pelajar cemerlang. Katanya, “Sekali lagi, kembali kepada Allah. Di dalam surah al-Mukminun (23 : 1-9) Allah berfirman tentang rahsia menjadi orang yang berjaya.” Antara, tips yang sempat dikongsikan ialah, perlunya menanamkan iman di dada, khusyuk dalam setiap perkara yang dilakukan, dan menjauhkan diri dari perkara yang melalaikan dan tetapkan keutamaan dalam hidup.

Begitulah kaitannya antara cinta dan cita. Tanpa cinta, tiadalah cita. “Cintakan Allah yang utama, supaya jalan seterusnya dipermudahkan,” kata Pn. Haryati lagi. Semoga perkongsian ilmu daripada orang-orang hebat mampu menjadi motivasi kepada hadirin agar menanamkan cita-cita untuk menjadi insan yang hebat. 

Sebelum Program Jom Bina Hati melabuhkan tirainya pada semester kedua, aktiviti cabutan bertuah diadakan bagi hadirin yang hadir pada malam itu. Diharapkan agar program ini berterusan pada semester berikutnya serta mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan mahasiswi. Sesungguhnya, masa yang dikorbankan untuk memperoleh ilmu yang bermanfaat tidak harus dilepaskan begitu sahaja.



No comments:

Post a Comment