BANGI, 6 Mac – Program Jom Bina Hati kali ini menjemput aktivis PEMBINA, Ustazah Wan Anisah bagi membincangkan tajuk ‘Antara Aku dan Dia’. Beliau menyifatkan ‘aku’ dan ‘dia’ merujuk kepada hubungan antara manusia dengan Pencipta. Manusia sebagai khalifah Allah berperanan untuk mengabdikan diri kepada Allah serta menjalankan segala perintah dan menjauhi laranganNya.
Sebelum beliau mengupas dengan lebih lanjut
tajuk ini, hadirin dikenalkan dengan perkataan aqada yang bermaksud
ikatan yang kukuh. Hubungan Pencipta dengan manusia diikat dengan
aqidah. Aqidah itu sendiri bermaksud, kepercayaan dan keyakinan yang
teguh akan kewujudan Allah S.W.T dan sifat-sifat kesempurnaanNya
berdasarkan dalil naqli dan aqli.
“Terdapat empat aspek dalam
ilmu aqidah iaitu Ar-Rububiyyah, Al-Uluhiyyah, As-Sam’iyyah dan
An-Nubuwwah. Jika tiada salah satu, maka tidak lengkaplah aqidah
seseorang.”
Hadirin juga dihidangkan dengan maklumat-maklumat
yang dipetik daripada buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam. Bagi
menghuraikan perhubungan manusia dengan Allah, beliau mengambil tiga
sifat asas yang seharusnya ada pada diri seorang muslim. Antaranya,
muslim di sudut aqidah, ibadah dan akhlak.
“Manusia perlu
berusaha mengenal nama-nama dan sifat-sifat Allah seperti hadis
Rasulullah: Allah mempunyai 99 nama, 100 kurang satu, tidak seorangpun
menghafaznya kecuali beliau akan masuk Syurga. Allah itu ganjil dan
menyukai perkara yang ganjil.”
“Akhlak perlu ada dalam ibadah supaya ibadah kita tidak akan jadi retorik.”
Maka,
sifat-sifat ini harus ada dalam diri setiap muslim supaya penggabungan
dirinya ke dalam agama Islam merupakan penggabungan yang sah dan benar.
Firman Allah di dalam surah Al-Hajj ayat 78 : “Dia telah menamakan kamu
sekalian orang-orang muslimin dari dahulu dan (begitu pula) dalam
(Al-Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas segenap manusia.”
Sebelum
menutup bicara, beliau berkata, “Akhlak adalah method dakwah yang
paling berkesan. Sebagai buktinya, ramai sahabat tertarik dengan Islam
kerana akhlak Nabi. Sehinggakan Aisyah mengakui akhlaknya Nabi akhlak
Al-Quran.”
“Akhlak adalah keinginan manusia, bukan fitrah. Maka, akhlak perlu dibentuk dan dipupuk.”
No comments:
Post a Comment