Saturday, 25 May 2013

Aku Ingin Jadi Siswi Berjaya




BANGI, 17 April – Program Jom Bina Hati kali ini menjemput aktivis PEMBINA, Dr. Nor Azyati bt. Yusoff bagi membincangkan tajuk ‘Aku Ingin Jadi Siswi Excellent’. Berpandukan sepuluh Muwassafat Tarbiyyah, topik ini dikupas satu persatu bagi merungkai rahsia-rahsia menjadi cemerlang dalam hidup. 

“Untuk berjaya dalam hidup, kita sebagai orang Islam haruslah kembali kepada sifat mukmin sejati berdasarkan kepada dua sumber utama, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Selain itu, sifat wasatiyyah(sederhana) dan syumul perlu ada dalam diri.”

Aqidah yg sejahtera perlu ada dalam diri setiap individu muslim yang mukmin. Memetik kata-kata dari Dr. Azyati, akidah yang sejahtera itu diibaratkan seperti akar pokok yang menegakkan pokok agar terus kukuh berdiri. Hadirin turut diingatkan bahawa setiap amalan hanya diniatkan kerana Allah. Niat kerana Allah bermaksud, tidak melebihkan makhluk atas Khaliq. Firman Allah di dalam surah Al-An’am: 

Katakanlah (Muhammad), “Sesungguhnya, solatku, ibadahku hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam.” (6:162)

Perkara kedua yang perlu dipupuk dalam setiap individu Muslim itu ialah, Ibadah yang sahih. Contohnya, solat. Berpandukan hadis riwayat Al-Bukhari, Rasulullah berkata, “Solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku solat.” Ini bermaksud, cara-cara yang digariskan oleh Rasulullah perlu diikut untuk mencapai kesempurnaan dalam solat. Selain solat, setiap pekerjaan yang dilakukan dengan niat kerana Allah turut dikira sebagai Ibadah.

Selain itu, orang Islam perlu mempunyai Akhlak yang mantap. Bukan sahaja terhadap Allah tetapi juga berakhlak mulia sesama manusia dan alam sekitar. Contohnya, malu berbuat dosa, menjalin hubungan baik dengan jiran tetangga, tawadhu’ tanpa merendahkan diri dan banyak lagi. Di samping itu, kuat tubuh badan amat perlu untuk melaksanakan ajaran Islam. Dari Abu Hurairah ra, katanya: Telah bersabda Rasulullah saw:  
Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah, dan pada tiap-tiap (mereka) ada kebaikan.”

Muslim yang mukmin turut dituntut untuk mempunyai pengetahuan yang luas dan tidak hanya membataskan fikiran terhadap bidang yang diceburi sahaja. Selain itu, mampu menahan nafsu, menjaga masa dengan memanfaatkannya, tersusun urusannya, mampu berdikari dan paling penting, bermanfaat kepada orang lain. 

Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.” (HR. Ahmad, Thabrani, Daruqutni)


 

No comments:

Post a Comment