Showing posts with label Journalisme. Show all posts
Showing posts with label Journalisme. Show all posts

Saturday, 25 May 2013

Menggapai Cinta dan Cita




BANGI, 22 Mei – Seiring dengan musim peperiksaan yang bakal tiba, Program Jom Bina Hati yang terakhir pada semester 2 kali ini, menyajikan topik yang sungguh menarik, iaitu ‘Menggapai Cinta dan Cita’. Lebih menarik lagi, penyampaian itu disampaikan dalam bentuk forum, disertakan dengan pakej ahli panel serta moderator yang hebat dan berkarisma. Bersama-sama moderator ukhti Nor Wina ialah panel Ustazah Haryati dan Pn. Farah Ruslin yang juga merupakan beliawanis PEMBINA.

Berbicara mengenai cinta dan cita, pasti ramai yang tertanya-tanya, apakah kaitan cinta dan cita? Seperti yang dikatakan Ustazah Haryati, “Perlunya kita berbalik kepada tujuan asal penciptaan:

“Tidak Aku ciptakan jin dan Manusia melainkan hanya untuk beribadah kepada-Ku.” (QS. Adz –Dzariyat: 56 ). 
 
Maka, bermula dengan kalimah syahadah sebagai tanda beriman dan cinta kepada Al-Khaliq, diikuti dengan penetapan matlamat dalam hidup, iaitu beribadah kepadaNya. Dengan adanya cinta, terwujudlah cita. Oleh itu, sebagai pelajar yang ingin menggapai cita-cita perlulah terlebih dahulu menanamkan rasa cinta terhadap Sang Pencipta dan cita-cita.

“Dalam kita mengejar cinta dan cita, jangan sesekali pandang enteng terhadap amanah yang diberi, mahupun menganggap ianya satu beban. Sebagai contoh, tanggungjawab saya sebagai seorang anak, isteri, kakak dan dalam pada masa yang sama sebagai seorang pelajar PHD. Kita perlu menganggapnya sebagai wasilah untuk mengejar akhirat.” Kata ahli panel kedua, Pn. Farah. Sesungguhnya, amanah itu diibaratkan seperti catalyst yang mampu meningkatkan semangat dalam mengejar kedua-duanya. Setelah itu, serahkan 100% pergantungan kepada Allah yang Maha Mengetahui.

Ustazah Haryati juga sempat berkongsi dengan hadirin, tips menjadi pelajar cemerlang. Katanya, “Sekali lagi, kembali kepada Allah. Di dalam surah al-Mukminun (23 : 1-9) Allah berfirman tentang rahsia menjadi orang yang berjaya.” Antara, tips yang sempat dikongsikan ialah, perlunya menanamkan iman di dada, khusyuk dalam setiap perkara yang dilakukan, dan menjauhkan diri dari perkara yang melalaikan dan tetapkan keutamaan dalam hidup.

Begitulah kaitannya antara cinta dan cita. Tanpa cinta, tiadalah cita. “Cintakan Allah yang utama, supaya jalan seterusnya dipermudahkan,” kata Pn. Haryati lagi. Semoga perkongsian ilmu daripada orang-orang hebat mampu menjadi motivasi kepada hadirin agar menanamkan cita-cita untuk menjadi insan yang hebat. 

Sebelum Program Jom Bina Hati melabuhkan tirainya pada semester kedua, aktiviti cabutan bertuah diadakan bagi hadirin yang hadir pada malam itu. Diharapkan agar program ini berterusan pada semester berikutnya serta mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan mahasiswi. Sesungguhnya, masa yang dikorbankan untuk memperoleh ilmu yang bermanfaat tidak harus dilepaskan begitu sahaja.



Aku Ingin Jadi Siswi Berjaya




BANGI, 17 April – Program Jom Bina Hati kali ini menjemput aktivis PEMBINA, Dr. Nor Azyati bt. Yusoff bagi membincangkan tajuk ‘Aku Ingin Jadi Siswi Excellent’. Berpandukan sepuluh Muwassafat Tarbiyyah, topik ini dikupas satu persatu bagi merungkai rahsia-rahsia menjadi cemerlang dalam hidup. 

“Untuk berjaya dalam hidup, kita sebagai orang Islam haruslah kembali kepada sifat mukmin sejati berdasarkan kepada dua sumber utama, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Selain itu, sifat wasatiyyah(sederhana) dan syumul perlu ada dalam diri.”

Aqidah yg sejahtera perlu ada dalam diri setiap individu muslim yang mukmin. Memetik kata-kata dari Dr. Azyati, akidah yang sejahtera itu diibaratkan seperti akar pokok yang menegakkan pokok agar terus kukuh berdiri. Hadirin turut diingatkan bahawa setiap amalan hanya diniatkan kerana Allah. Niat kerana Allah bermaksud, tidak melebihkan makhluk atas Khaliq. Firman Allah di dalam surah Al-An’am: 

Katakanlah (Muhammad), “Sesungguhnya, solatku, ibadahku hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam.” (6:162)

Perkara kedua yang perlu dipupuk dalam setiap individu Muslim itu ialah, Ibadah yang sahih. Contohnya, solat. Berpandukan hadis riwayat Al-Bukhari, Rasulullah berkata, “Solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku solat.” Ini bermaksud, cara-cara yang digariskan oleh Rasulullah perlu diikut untuk mencapai kesempurnaan dalam solat. Selain solat, setiap pekerjaan yang dilakukan dengan niat kerana Allah turut dikira sebagai Ibadah.

Selain itu, orang Islam perlu mempunyai Akhlak yang mantap. Bukan sahaja terhadap Allah tetapi juga berakhlak mulia sesama manusia dan alam sekitar. Contohnya, malu berbuat dosa, menjalin hubungan baik dengan jiran tetangga, tawadhu’ tanpa merendahkan diri dan banyak lagi. Di samping itu, kuat tubuh badan amat perlu untuk melaksanakan ajaran Islam. Dari Abu Hurairah ra, katanya: Telah bersabda Rasulullah saw:  
Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah, dan pada tiap-tiap (mereka) ada kebaikan.”

Muslim yang mukmin turut dituntut untuk mempunyai pengetahuan yang luas dan tidak hanya membataskan fikiran terhadap bidang yang diceburi sahaja. Selain itu, mampu menahan nafsu, menjaga masa dengan memanfaatkannya, tersusun urusannya, mampu berdikari dan paling penting, bermanfaat kepada orang lain. 

Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.” (HR. Ahmad, Thabrani, Daruqutni)


 

Number One for Me


BANGI, 3 April 2013– Program Jom Bina Hati siri ke-4 pada minggu ini menjemput aktivis PEMBINA Ustazah Norhayati bagi membincangkan tajuk ‘Number One for Me’. Petikan ini bermaksud, dalam setiap perkara yang kita ingin lakukan, jadikan mereka tunggak utama. Sesungguhnya, dalam hidup setiap anak, pasti menagih restu dan redha ibu bapa. Maka, dengan redha ibu bapa, pasti ada redha Allah. 

“Bahagia yang dikecapi dari perspektif dunia adalah memiliki kereta besar, pemandangan indah dan sebagainya. Tetapi, menurut Islam, insan yang bahagia adalah mereka yang mampu melawan penderitaan, kecelakaan dan kesengsaraan. Orang bahagia memperoleh naungan rahmat, perlindungan dan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah.” 

Beliau turut menyatakan tiga sumber kebahagiaan hakiki iaitu, Allah, Rasul dan Ibu bapa. Kata Allah tentang ibu bapa di dalam surah Luqman ayat 14 : 

“Dan kami perintahkan kpd manusia (berbuat baik) kepada kedua org ibu bapanya, ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah..” 

Dari Miqdam bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda, “Sesungguhnya Allah berwasiat agar kalian berbuat baik pada ibu-ibumu, ayah-ayahmu dan kaum kerabatmu.”

Hadirin turut didedahkan cara-cara mencapai bahagia menerusi ibu bapa. Imam Ghazali dalam Bidayatul hidayah menyenaraikan 10 adab terhadap ibu bapa demi kebahagiaan hakiki (laksanakan 4H dan elakkan 6J). 4H yang HENDAKLAH dilaksanakan ialah, patuh perintah ibu bapa, berdiri apabila ibu bapa berdiri, bersungguh-sungguh mendapatkan keredhaan Allah dan menjawab panggilan ibu bapa dengan sopan. 

Manakala, 6J yang JANGAN dilakukan ialah, jangan meninggikan suara melebihi ibu bapa, jangan cakap sesuatu yang menyinggung perasaannya, jangan mengungkit kebajikan yang pernah dilakukan kepada keduanya, jangan menjeling kepada ibu bapa atau menampakkan kemarahan kepada mereka, jangan memasamkan muka dan jangan musafir kecuali dengan izin keduanya. 

Maka, kita perlu audit semula bagaimana sikap kita terhadap ibu bapa. Nasihat kepada mereka yang ketiadaan ibu bapa, ubah identiti, ubah paradigma. Jadilah anak yg soleh. Jika tidak, ibu bapa akan diseksa di akhirat nanti. Jangan kita jadi saham neraka buat ibu bapa. Paling penting, teruskan berdoa, dan sebut nama mereka di dalam bacaan doa. 

Semoga dengan pengisian ini memberi impak positif kepada hadirin yang hadir dalam program ini. Semoga ilmu yang diperolehi tidak hanya memberi kesan kepada diri sendiri, malah disebarkan kepada umum bagi manfaat bersama.


Antara Aku dan Dia


BANGI, 6 Mac – Program Jom Bina Hati kali ini menjemput aktivis PEMBINA, Ustazah Wan Anisah bagi membincangkan tajuk ‘Antara Aku dan Dia’. Beliau menyifatkan ‘aku’ dan ‘dia’ merujuk kepada hubungan antara manusia dengan Pencipta. Manusia sebagai khalifah Allah berperanan untuk mengabdikan diri kepada Allah serta menjalankan segala perintah dan menjauhi laranganNya. 

Sebelum beliau mengupas dengan lebih lanjut tajuk ini, hadirin dikenalkan dengan perkataan aqada yang bermaksud ikatan yang kukuh. Hubungan Pencipta dengan manusia diikat dengan aqidah. Aqidah itu sendiri bermaksud, kepercayaan dan keyakinan yang teguh akan kewujudan Allah S.W.T dan sifat-sifat kesempurnaanNya berdasarkan dalil naqli dan aqli. 

“Terdapat empat aspek dalam ilmu aqidah iaitu Ar-Rububiyyah, Al-Uluhiyyah, As-Sam’iyyah dan An-Nubuwwah. Jika tiada salah satu, maka tidak lengkaplah aqidah seseorang.” 

Hadirin juga dihidangkan dengan maklumat-maklumat yang dipetik daripada buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam. Bagi menghuraikan perhubungan manusia dengan Allah, beliau mengambil tiga sifat asas yang seharusnya ada pada diri seorang muslim. Antaranya, muslim di sudut aqidah, ibadah dan akhlak. 

“Manusia perlu berusaha mengenal nama-nama dan sifat-sifat Allah seperti hadis Rasulullah: Allah mempunyai 99 nama, 100 kurang satu, tidak seorangpun menghafaznya kecuali beliau akan masuk Syurga. Allah itu ganjil dan menyukai perkara yang ganjil.” 

“Akhlak perlu ada dalam ibadah supaya ibadah kita tidak akan jadi retorik.” 

Maka, sifat-sifat ini harus ada dalam diri setiap muslim supaya penggabungan dirinya ke dalam agama Islam merupakan penggabungan yang sah dan benar. Firman Allah di dalam surah Al-Hajj ayat 78 : “Dia telah menamakan kamu sekalian orang-orang muslimin dari dahulu dan (begitu pula) dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas segenap manusia.” 

Sebelum menutup bicara, beliau berkata, “Akhlak adalah method dakwah yang paling berkesan. Sebagai buktinya, ramai sahabat tertarik dengan Islam kerana akhlak Nabi. Sehinggakan Aisyah mengakui akhlaknya Nabi akhlak Al-Quran.” 

“Akhlak adalah keinginan manusia, bukan fitrah. Maka, akhlak perlu dibentuk dan dipupuk.” 



Perlu ke Jadi Baik?

27 Februari 2013 - “Jangan pernah takut untuk jadi baik, kerana nantinya, Allah akan utuskan kepada kita orang yang baik-baik.”


Itu antara kata-kata Pn. Zatil Ilyani, sewaktu program mingguan anjuran PEMBINA UKM ; Jom Bina Hati. Penyataannya itu menjawab persoalan yang juga tajuk untuk minggu ini iaitu Perlu ke Jadi Baik?

Program yang dikhaskan untuk siswi sahaja ini berjaya mengumpulkan sekitar 60 orang pelajar siswi seluruh UKM.

Puan Zatil yang merupakan aktivis PEMBINA menjelaskan lagi, tiada istilah ‘terlewat’ untuk mencari keampunan dari Allah kerana Allah Maha Pengampun.

“Kita mempunyai pilihan dalam kehidupan ini” jelas beliau sambil membacakan makna surah As-Syams ayat 8-11. “Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntung orang yang mensucikan (jiwa)nya. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya. (Kaum) Tsamud telah mendustakan (rasulnya) karena mereka melampaui batas(zalim).”

Dalam situasi hari ini, masyarakat melihat seseorang yang berpakaian menurut syariat itu seolah-olahnya ‘pelik’. Perbuatan itu dianggap ‘kolot’ oleh segelintir masyarakat ataupun dikatakan tidak mengikut peredaran zaman. Sedangkan mereka yang ‘pelik’ itu melakukan sesuatu yang bertepatan dengan perintah Allah.

“Jangan takut menjadi pelik sekiranya pelik kamu itu benar.”

Itu antara nasihat Puan Zatil kepada hadirin yang hadir pada malam itu. Kata-kata itu disokong dengan hadis Rasulullah, “Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil.”

Dapat disimpulkan di sini bahawa mereka yang ingin berubah kini berhadapan dengan segelintir masyarakat yang sepertinya mendiskriminasi perubahan individu ke arah kebaikan sehinggakan mereka takut untuk berubah. Tetapi, keazaman yang kuat untuk berubah perlu ada serta sentiasa diiringi dengan doa supaya kita tidak mudah berpatah semula apabila diuji.


Thursday, 7 March 2013

Kewartawanan

Assalamualaikum...

Eh, kenapa gambar ni?
Ahha! Baiklah, sebenarnya, saya sedang berjinak-jinak dalam penulisan berita. Wah, berita! Berita untuk surat khabar mana? Berita Harian? New Straits Time? 

SHHH....saya bukanlah penulis berita sensasi yang layak diletakkan di dalam akhbar-akhbar yang terhangat di pasaran tu. 

Habis tu? Tulis berita apa? Biasanya, perempuan tak lain tak bukan mesti tulis berita hiburan kan?

Ohh, tolonglah, buat apa lah buang masa nak cerita pasal kisah hidup orang (artis) . Ya, saya akui, kalau dapat surat khabar, mukasurat yang dibelek semestinya bahagian hiburan. Mana tak nya, yang lain politik sana-sini, buat berat kepala je nak fikir. Kalau baca bahagian hiburan, tak payah susah-susah fikir masalah mereka. Baca dan gelak, kan senang. 

*Heh maisarah! Awak tu dah besar, patut tahu isu semasa!*    -.-"

Ya, ya, ya...sebab tu lah saya cuba untuk masuk ke alam kedewasaan itu dengan cuba sesuatu perkara yang mencabar. Saya malas nak tahu isu semasa, tapi saya perlu tahu! Makanya, saya terjun dalam bidang kewartawanan supaya saya dapat cabar diri saya untuk cakna isu semasa dan sedar permasalahan umat! SAYA PERLU BANGKIT! 

"Bangkit bila ditolak jatuh bangunlah semula
Bangkit bila diluka nanti pulihlah semula
Bangkit biar bersusah dulu nanti senang semua
Sakit pada luka kan pulih semula"

Ha, tiba-tiba je menyanyi lagu DJ Fuzz ft. Altimate..kan dah terlebih bersemangat.


Hmm..nak jadi ke tak? Dah jadi dah pun (wartawan kecil je), maka tiada jalan untuk berpatah semula. Mula-mula ingat senang je nak tulis berita ni, tapi bila hantar artikel, banyak lagi perlu diperbaiki. Sampai tiga kali! Penat otak nak fikir, haih~ 

Ok, dah lah tu, nak kena sambung buat laporan berita lagi ni...ma'assalamah :)

p/s: berita apa cik kak oi? hehe, adalah~ "ini semua poyo"-Johan raja lawak-