Saturday, 25 May 2013

Aku Ingin Jadi Siswi Berjaya




BANGI, 17 April – Program Jom Bina Hati kali ini menjemput aktivis PEMBINA, Dr. Nor Azyati bt. Yusoff bagi membincangkan tajuk ‘Aku Ingin Jadi Siswi Excellent’. Berpandukan sepuluh Muwassafat Tarbiyyah, topik ini dikupas satu persatu bagi merungkai rahsia-rahsia menjadi cemerlang dalam hidup. 

“Untuk berjaya dalam hidup, kita sebagai orang Islam haruslah kembali kepada sifat mukmin sejati berdasarkan kepada dua sumber utama, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Selain itu, sifat wasatiyyah(sederhana) dan syumul perlu ada dalam diri.”

Aqidah yg sejahtera perlu ada dalam diri setiap individu muslim yang mukmin. Memetik kata-kata dari Dr. Azyati, akidah yang sejahtera itu diibaratkan seperti akar pokok yang menegakkan pokok agar terus kukuh berdiri. Hadirin turut diingatkan bahawa setiap amalan hanya diniatkan kerana Allah. Niat kerana Allah bermaksud, tidak melebihkan makhluk atas Khaliq. Firman Allah di dalam surah Al-An’am: 

Katakanlah (Muhammad), “Sesungguhnya, solatku, ibadahku hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam.” (6:162)

Perkara kedua yang perlu dipupuk dalam setiap individu Muslim itu ialah, Ibadah yang sahih. Contohnya, solat. Berpandukan hadis riwayat Al-Bukhari, Rasulullah berkata, “Solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku solat.” Ini bermaksud, cara-cara yang digariskan oleh Rasulullah perlu diikut untuk mencapai kesempurnaan dalam solat. Selain solat, setiap pekerjaan yang dilakukan dengan niat kerana Allah turut dikira sebagai Ibadah.

Selain itu, orang Islam perlu mempunyai Akhlak yang mantap. Bukan sahaja terhadap Allah tetapi juga berakhlak mulia sesama manusia dan alam sekitar. Contohnya, malu berbuat dosa, menjalin hubungan baik dengan jiran tetangga, tawadhu’ tanpa merendahkan diri dan banyak lagi. Di samping itu, kuat tubuh badan amat perlu untuk melaksanakan ajaran Islam. Dari Abu Hurairah ra, katanya: Telah bersabda Rasulullah saw:  
Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah, dan pada tiap-tiap (mereka) ada kebaikan.”

Muslim yang mukmin turut dituntut untuk mempunyai pengetahuan yang luas dan tidak hanya membataskan fikiran terhadap bidang yang diceburi sahaja. Selain itu, mampu menahan nafsu, menjaga masa dengan memanfaatkannya, tersusun urusannya, mampu berdikari dan paling penting, bermanfaat kepada orang lain. 

Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.” (HR. Ahmad, Thabrani, Daruqutni)


 

Dugaan




Assalamualaikum



Salam hormat. Berita Terkini.

Selama hampir dua minggu mengalami gangguan jaringan, kini komputer riba pula rosak! Haiyya, susah maa mau buat kerja. Atas sebab itu, saya ingin menghabiskan 30 post selagi ada kat rumah ni ha. Memandangkan saya balik kejap je, jadi saya mengambil inisiatif buat entri berbentuk laporan yang telah saya sediakan sebelum-sebelum ini dan diletakkan dalam ruangan 'Journalisme'. Lepas ni balik kolej mungkin tak hadap 'netbook' lagi dah (kalau hayat dia tak dapat diselamatkan). Jadi, masa ni lah manusia akan hadap buku kan? Haha, padan muka, sombong dengan buku lagi.

Number One for Me


BANGI, 3 April 2013– Program Jom Bina Hati siri ke-4 pada minggu ini menjemput aktivis PEMBINA Ustazah Norhayati bagi membincangkan tajuk ‘Number One for Me’. Petikan ini bermaksud, dalam setiap perkara yang kita ingin lakukan, jadikan mereka tunggak utama. Sesungguhnya, dalam hidup setiap anak, pasti menagih restu dan redha ibu bapa. Maka, dengan redha ibu bapa, pasti ada redha Allah. 

“Bahagia yang dikecapi dari perspektif dunia adalah memiliki kereta besar, pemandangan indah dan sebagainya. Tetapi, menurut Islam, insan yang bahagia adalah mereka yang mampu melawan penderitaan, kecelakaan dan kesengsaraan. Orang bahagia memperoleh naungan rahmat, perlindungan dan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah.” 

Beliau turut menyatakan tiga sumber kebahagiaan hakiki iaitu, Allah, Rasul dan Ibu bapa. Kata Allah tentang ibu bapa di dalam surah Luqman ayat 14 : 

“Dan kami perintahkan kpd manusia (berbuat baik) kepada kedua org ibu bapanya, ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah..” 

Dari Miqdam bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda, “Sesungguhnya Allah berwasiat agar kalian berbuat baik pada ibu-ibumu, ayah-ayahmu dan kaum kerabatmu.”

Hadirin turut didedahkan cara-cara mencapai bahagia menerusi ibu bapa. Imam Ghazali dalam Bidayatul hidayah menyenaraikan 10 adab terhadap ibu bapa demi kebahagiaan hakiki (laksanakan 4H dan elakkan 6J). 4H yang HENDAKLAH dilaksanakan ialah, patuh perintah ibu bapa, berdiri apabila ibu bapa berdiri, bersungguh-sungguh mendapatkan keredhaan Allah dan menjawab panggilan ibu bapa dengan sopan. 

Manakala, 6J yang JANGAN dilakukan ialah, jangan meninggikan suara melebihi ibu bapa, jangan cakap sesuatu yang menyinggung perasaannya, jangan mengungkit kebajikan yang pernah dilakukan kepada keduanya, jangan menjeling kepada ibu bapa atau menampakkan kemarahan kepada mereka, jangan memasamkan muka dan jangan musafir kecuali dengan izin keduanya. 

Maka, kita perlu audit semula bagaimana sikap kita terhadap ibu bapa. Nasihat kepada mereka yang ketiadaan ibu bapa, ubah identiti, ubah paradigma. Jadilah anak yg soleh. Jika tidak, ibu bapa akan diseksa di akhirat nanti. Jangan kita jadi saham neraka buat ibu bapa. Paling penting, teruskan berdoa, dan sebut nama mereka di dalam bacaan doa. 

Semoga dengan pengisian ini memberi impak positif kepada hadirin yang hadir dalam program ini. Semoga ilmu yang diperolehi tidak hanya memberi kesan kepada diri sendiri, malah disebarkan kepada umum bagi manfaat bersama.