Alhamdulillah, kemerdekaan negara sudah mencapai usia yang ke-56. Tatkala kita sedang berada dalam zon selesa iaitu kemerdekaan negara, saudara kita (seIslam) sedang bergelut dengan musuh-musuh kita. Ya, mungkin kita bebas dari peperangan tapi, adakah kita bebas-sebebasnya?
Dengan apa yang kita alami sekarang, kebebasan yang kita rasa sekarang ini bukanlah kebebasan mutlak. Mungkin saudara-saudara kita dijajah secara terang-terangan, namun jika dilihat dari sudut dalaman, mereka tidak dijajah. Walaupun kerdil di hadapan peralatan perang dan sebagainya, namun jiwa mereka tidak gentar dan aqidah mereka masih kukuh.
Kita pula, merdeka tanpa peperangan tetapi minda kita sedang dijajah. Penerapan sedikit unsur barat, k-pop dan sebagainya. Jika kita dapat menzahirkan apa yang terkandung dalam pemikiran dengan sebuah lukisan, betapa bercelarunya pemikiran kita. Mungkin penjajahan minda ini tidak jelas kelihatan pada orang-orang dewasa, namun golongan remaja lah yang menjadi mangsa jajahan ini.
Jajahan yang dibuat secara halus. Seolah-olah benang yang halus itu dimasukkan ke lubang jarum yang teramat kecil. Biarpun negara semakin maju dan kononnya masih berada dalam keamanan, tetapi negara kita diuji dengan pelbagai kes remaja rosak dan terkini, kita diancam dengan kes tembak menembak. Jika diimbas sekitar tahun 2010-2011, kes simbah asid begitu popular sehingga keselamatan warga Malaysia terancam. Kini, orang kita dengan mudahnya ditembak sana sini.
Apapun, kita masih bersyukur kerana kuasa luar tidak cuba untuk masuk campur urusan negara kita. Jangan sampai suatu hari nanti, perebutan kuasa sekali lagi menjadi punca negara kita dijajah. Tapi, mungkin itu juga yang sedang dirancang oleh mereka. Tambahan lagi, negara Malaysia masih berpegang dengan asas Islam dalam perlembagaan. Cabaran kita adalah untuk mengekalkannya. Boleh jadi punca utama jajahan adalah kerana agama, manakala politik dan ekonomi itu dijadikan alasan kononnya perlu campur tangan luar.
Nak membebel lagi tapi, cukuplah tu. Sekian, ma'assalamah :)